Wednesday, March 4, 2009

Sabar : Syarat Menang . vol 2

Khabbab Al Arat adalah seorang sahabat yang telah mengalami penderitaan kerana mempertahan Iman dan Islamnya . Belakangnya meninggalkan parut yang sangat hodoh akibat dikelar dan disalai jasadnya di atas bara api oleh kuffar Quraisy .

Suatu hari , Khabbab bertemu Nabi saw sedang Baginda beristerehat dibawah bayangan kaabah . Lantas Khabbab sebagai seorang pejuang yang sekian lama di seksa dan memahami betapa getirnya berdepan dengan kuffar Quraisy segera bertanya kepada Nabi saw :

Apakah Tuan tidak memohon kepada Allah swt agar memberi kemenangan kepada kita ? Adakah Tuan tidak berdoa bagi pihak kita ?

Pertanyaan ringkas ini seperti membangkitkan emosi Nabi saw lantas menegaskan betapa orang - orang terdahulu sebahagian mereka berjuang sehingga digergaji kepalanya dan dibelah dua jasadnya . Bahkan sebahagian mereka disikat dengan sikat besi sehingga bercerai daging dari tulangnya namun mereka tetap bersama Iman dan Islam.

Nabi saw menggambarkan betapa sakit dan seksanya orang - orang yang terdahulu dalam mempertahankan Islam . Biarpun sebesar mana mehnah dan ibtila' yang mereka hadapi , tidak menjadikan mereka berpaling dari perjuangan Islam yang suci ini .

Seterusnya Nabi saw meyakinkan Khabbab Rha. bahawa Demi Sesungguhnya Allah swt pasti akan menyempurnakan agama ini dengan lahirnya pejuang yang sanggup berkorban dan bergadai nyawa . Sehingga dunia menjadi aman dari sebarang ketakutan melainkan hanya takut kepada Allah swt Tuhan yang Maha gagah lagi Maha Perkasa . Malangnya kamu terlalu gopoh !

Cubalah kita bayangkan , Insan sehebat Khabbab Al Arat pula telah berjaya melepasi ujian penderitaan serta penyiksaan yang dahsyat masih dianggap gopoh oleh Nabi saw. apabila bertanya apakah nabi saw , Apakah Baginda tidak memohon kejayaan atau kemenangan bagi pihak Islam dan ummatnya

Bagaimana kedudukan kita hari ini ? saban waktu asyik bertanya bila nak menang sedang kita belum menempuh ujian kelayakan untuk menggapai kemenangan yang pasti terlalu mahal harganya ?

Lebih malang sebahagian kita hanya leka bertanya bila nak menang , kenapa kita tidak menang lagi dan sebagainya tetapi dia sendiri berpeluh tubuh tanpa mengerah tenaga untuk merencana sebuah kemenangan . hanya mampu mengkritik hasil kerja orang lain tetapi tidak menginsafi kelemahan diri untuk diperbaiki .